Site icon TUHAU BAMBANGAN

Pemuda Gagasan Rakyat tegas tolak tuntutan Filipina terhadap Sabah – Azrul

KOTA KINABALU: Pergerakan Pemuda Pusat Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) menegaskan pendirian tegas dan berprinsip dalam menolak sebarang tuntutan Filipina terhadap Sabah, susulan kenyataan Jabatan Hal Ehwal Luar Filipina (DFA) yang sekali lagi membangkitkan isu berhubung peta pentadbiran 2012.

Dalam satu kenyataan media hari ini, Pemangku Ketua Pemuda Gagasan Rakyat, Azrul Ibrahim berkata, pihaknya memandang serius kenyataan tersebut dan menegaskan bahawa Sabah merupakan sebahagian yang sah dan berdaulat dalam Persekutuan Malaysia.

Menurut beliau, sebarang tuntutan yang tidak mempunyai asas perundangan serta legitimasi sejarah adalah tidak berasas dan wajar ditolak sepenuhnya. Kedudukan Sabah sebagai sebuah negeri dalam Malaysia telah dimuktamadkan melalui proses sejarah serta diiktiraf dalam kerangka perundangan antarabangsa.

“Pendirian ini selaras dengan ketegasan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor sebelum ini yang menegaskan bahawa kerajaan negeri tidak akan melayan sebarang tuntutan sedemikian dan akan terus mempertahankan kedaulatan negeri dalam Persekutuan Malaysia,” katanya.

Azrul turut berpandangan bahawa isu tersebut tidak seharusnya dibangkitkan semula kerana ia berpotensi menjejaskan hubungan baik serantau serta mencetuskan kegusaran antara negara terlibat.

Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh rakyat Sabah khususnya golongan muda agar terus bersatu hati dan memperkukuh semangat kebersamaan dalam mempertahankan kedaulatan negeri.

“Dalam menghadapi sebarang cabaran, perpaduan rakyat adalah kekuatan utama yang perlu dipelihara. Sabah adalah tanah air yang dibina atas asas keamanan, keharmonian dan kedaulatan yang tidak boleh dikompromi,” tegasnya.

Beliau menambah, Pemuda Gagasan Rakyat akan terus komited menjadi suara mempertahankan kedaulatan Sabah serta menyokong segala usaha kerajaan dalam memastikan keselamatan dan kestabilan negeri sentiasa terpelihara.

“Dalam soal kedaulatan, pendirian kita jelas, tegas, konsisten dan tidak berkompromi. Sabah kekal bersama Malaysia, dulu, kini dan selamanya,” katanya.

Exit mobile version