KOTA KINABALU: Semua balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah kini aktif melaksanakan rondaan dan pemantauan di kawasan jagaan masing-masing susulan kejadian gempa bumi bermagnitud 6.8 yang berlaku di perairan Kota Kinabalu awal pagi tadi.
JBPM Sabah ketika dihubungi memaklumkan setakat ini tiada sebarang panggilan kecemasan atau laporan insiden berkaitan gempa bumi diterima.
“Semua balai sedang melaksanakan rondaan dan pemantauan bagi memastikan keselamatan orang awam serta keadaan persekitaran berada dalam keadaan selamat dan terkawal,” menurut kenyataan itu.
Langkah proaktif tersebut diambil sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengenal pasti sebarang kemungkinan kerosakan struktur bangunan atau risiko lain yang boleh menjejaskan keselamatan penduduk, khususnya di kawasan yang dilaporkan merasai gegaran.
Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) memaklumkan gempa bumi kuat itu berlaku pada jam 12.57 pagi dengan koordinat 7.0° Utara dan 116.4° Timur, kira-kira 49 kilometer barat dari Kudat, Sabah pada kedalaman 678 kilometer.
Menurut MET Malaysia, gegaran dirasai di beberapa kawasan di Sabah serta sebahagian Sarawak dan Semenanjung Malaysia, namun tiada ancaman tsunami kepada Malaysia.
Jabatan itu akan terus memantau perkembangan semasa dan meminta orang ramai yang merasai gegaran agar mengisi borang soal selidik yang disediakan bagi membantu penilaian lanjut.

