TAWAU: Dua wanita warga asing ditahan polis selepas disyaki terlibat dalam kes ugutan jenayah terhadap seorang wanita tempatan dalam kejadian di Kampung Kurnia, Batu 4 Jalan Apas, di sini, Disember lalu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Champin Piuh berkata, kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 6.15 petang di hadapan sebuah kedai di kawasan berkenaan membabitkan mangsa berusia 25 tahun.
Menurutnya, mangsa mendakwa telah diugut oleh kedua-dua suspek yang juga jirannya dan dikenali.
“Semasa insiden itu, kedua-dua suspek dikatakan mengeluarkan kata-kata berunsur ugutan terhadap mangsa,” katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.
Susulan laporan yang dibuat mangsa di Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Tawau telah menjalankan siasatan lanjut.
Beliau berkata, hasil tindakan pantas polis, kedua-dua suspek berusia lingkungan 20-an berjaya diberkas kira-kira jam 1.30 petang di kawasan Bandar Sabindo, Tawau.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan polis memandang serius sebarang bentuk ugutan terhadap individu,” tegasnya.
Tambah beliau, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi memastikan tindakan sewajarnya dapat diambil.

