Site icon TUHAU BAMBANGAN

Tumbuk, baling kerusi & ugut tikam guna garpu, lelaki 33 tahun ditahan di Tawau

TAWAU: Seorang lelaki tempatan berusia 33 tahun ditahan polis selepas dipercayai menumbuk mangsa, membaling kerusi serta mengugut untuk menikam menggunakan garpu dalam kejadian di perkarangan Restoran Madeena, Kubota Sentral, pada awal pagi Sabtu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Champin Piuh berkata, pihak polis menerima laporan berhubung kejadian kira-kira jam 4.00 pagi melibatkan seorang lelaki berusia 28 tahun.

Menurutnya, mangsa mendakwa dipukul dan ditumbuk oleh suspek yang dikenalinya sebelum suspek mengacukan garpu ke arah mangsa serta mengugut untuk menikamnya.

“Dalam kejadian sama, suspek turut bertindak agresif dengan membaling kerusi ke arah kenderaan mangsa sehingga menyebabkan calar pada bahagian pintu penumpang belakang,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.

Bertindak atas maklumat dan risikan, sepasukan pegawai dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau berjaya menahan suspek kira-kira jam 1.00 tengah hari di belakang sebuah premis perniagaan di Jalan Sin Onn, Tawau.

Suspek kini ditahan bagi membantu siasatan lanjut.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak mengambil tindakan sendiri dalam menyelesaikan sebarang pertikaian, sebaliknya menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terus terpelihara.

Exit mobile version