Site icon TUHAU BAMBANGAN

Pitas terus catat peningkatan jumlah mangsa, 3,316 penduduk terjejas bencana di Sabah

KOTA KINABALU: Daerah Pitas merekodkan jumlah mangsa tertinggi dalam kejadian banjir yang melanda beberapa daerah di Sabah setakat jam 12 tengah hari tadi, dengan 2,171 orang daripada 1,078 Ketua Isi Rumah (KIR) dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Berdasarkan infografik rasmi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah bertarikh 22 Februari 2026, sebanyak 3,316 penduduk daripada 1,417 KIR terjejas di empat daerah terlibat, melibatkan 25 PPS yang masih beroperasi.

JPBN Sabah dalam kenyataan memaklumkan, sehingga jam 12.00 tengah hari, jumlah kumulatif penduduk terjejas adalah seramai 3,316 orang melibatkan 1,417 Ketua Isi Rumah di empat daerah terlibat.

Menurut laporan itu, selain Pitas yang menunjukkan trend meningkat, daerah Paitan merekodkan 850 mangsa daripada 268 KIR dengan situasi dilaporkan menurun, manakala Tawau mencatatkan 245 mangsa daripada 55 KIR dalam keadaan kekal.

Di Kota Belud, insiden kebakaran melibatkan satu KIR dengan enam mangsa ditempatkan di PPS Dewan Kampung Malangkap Tiong dan dilaporkan dalam keadaan terkawal.

Sementara itu, semua PPS di Kota Marudu telah ditutup selepas keadaan banjir pulih sepenuhnya.

JPBN Sabah turut memaklumkan tiada kematian dilaporkan setakat ini, manakala tiada mangsa direkodkan berada di luar PPS atau terkepung akibat bencana.

Sekretariat JPBN Sabah melalui Pusat Kawalan Bencana Negeri (SDCC) akan terus memantau perkembangan semasa dan menyelaras operasi bantuan bersama Pejabat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) daerah bagi memastikan kebajikan mangsa sentiasa terpelihara.

Exit mobile version