Site icon TUHAU BAMBANGAN

Banjir Sabah: Jumlah mangsa terus meningkat kepada 3,685 setakat 8 pagi hari ini

KOTA KINABALU: Jumlah mangsa banjir di Sabah terus menunjukkan peningkatan apabila seramai 3,685 orang daripada 1,593 Ketua Isi Rumah (KIR) direkodkan terjejas setakat jam 8.00 pagi hari ini.

Menurut Perkembangan Harian Bencana Negeri Sabah yang dikeluarkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah, tiga daerah terlibat iaitu Kota Marudu, Pitas dan Paitan dengan keseluruhan 18 pusat pemindahan sementara (PPS).

JPBN Sabah memaklumkan trend data di PPS adalah meningkat, khususnya di Kota Marudu dan Paitan.

Di Kota Marudu, seramai 1,978 mangsa daripada 925 KIR direkodkan terjejas dengan 12 kampung terlibat dan status keseluruhan menunjukkan peningkatan.

Di Pitas, jumlah mangsa kekal setakat pagi ini iaitu 1,515 orang daripada 593 KIR melibatkan 30 kampung.

Sementara itu, Paitan turut mencatat peningkatan dengan 192 mangsa daripada 75 KIR melibatkan lima kampung.

“Trend data di PPS meningkat dan pemantauan berterusan sedang dilaksanakan,” menurut kenyataan JPBN Sabah dalam laporan tersebut.

Setakat ini, tiada kematian dilaporkan akibat bencana banjir berkenaan.

Statistik harian turut menunjukkan lonjakan ketara jumlah penduduk terjejas berbanding awal pagi, dengan graf kumulatif pada 21 Februari 2026 mencatat peningkatan daripada 2,479 mangsa kepada 3,685 mangsa setakat jam 8.00 pagi.

JPBN Sabah melalui Pusat Kawalan Bencana Negeri terus menyelaras operasi pemindahan serta penyaluran bantuan kepada mangsa yang ditempatkan di PPS, dengan kerjasama pelbagai agensi keselamatan dan penyelamat di lapangan.

Exit mobile version