Site icon TUHAU BAMBANGAN

Keselamatan rakyat keutamaan, agensi berkaitan sudah digerakkan bantu mangsa banjir – Hajiji

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menegaskan keselamatan rakyat menjadi keutamaan Kerajaan Negeri susulan kejadian banjir yang melanda beberapa kawasan termasuk Kota Marudu, Pitas, Paitan dan Sandakan.

Dalam kenyataan menerusi Facebook semalam, beliau merakamkan rasa simpati mendalam terhadap mangsa yang terjejas, lebih-lebih lagi ketika umat Islam sedang menjalani ibadah puasa di bulan Ramadan.

“Di sebalik keberkatan bulan Ramadan ini, ada saudara-saudara kita yang sedang diuji dengan musibah banjir. Saya merakamkan rasa simpati yang mendalam kepada semua mangsa yang terjejas. Keselamatan rakyat adalah keutamaan Kerajaan Negeri,” katanya.

Hajiji berkata semua agensi keselamatan dan jabatan berkaitan telah digerakkan bagi melaksanakan operasi pemindahan, penyelamatan serta penyaluran bantuan kepada penduduk di kawasan terjejas.

“Semua agensi keselamatan dan jabatan berkaitan telah digerakkan bagi melaksanakan operasi pemindahan, penyelamatan serta penyaluran bantuan kepada penduduk di kawasan terjejas. Kerajaan Negeri juga sedang dan akan terus memantau keadaan semasa bagi memastikan bantuan disampaikan dengan cepat dan berkesan,” jelasnya.

Beliau turut merayu kepada penduduk di kawasan terlibat agar sentiasa berwaspada serta mematuhi arahan pihak berkuasa bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

“Saya merayu kepada semua penduduk di kawasan-kawasan yang dilanda banjir di Kota Marudu, Pitas, Paitan dan Sandakan serta kawasan berhampiran supaya sentiasa berwaspada, mematuhi arahan pihak berkuasa dan mengutamakan keselamatan diri serta keluarga. Jangan sesekali mengambil sebarang risiko,” tegasnya.

Dalam masa sama, Hajiji mengajak masyarakat untuk bersama-sama menunjukkan solidariti dan keprihatinan terhadap mangsa banjir.

“Dalam bulan Ramadan yang penuh rahmat ini, marilah kita saling mendoakan dan menghulurkan bantuan mengikut kemampuan masing-masing. Semoga Allah SWT mengurniakan kekuatan, ketabahan dan perlindungan kepada semua yang sedang diuji,” katanya.

Keadaan cuaca tidak menentu sejak beberapa hari lalu dilaporkan menyebabkan beberapa kawasan rendah dinaiki air, sekali gus memaksa pemindahan penduduk ke pusat pemindahan sementara (PPS) yang telah dibuka secara berperingkat.

Menurut laporan Jabatan Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah, seramai 2,479 penduduk terjejas banjir yang melibatkan tiga daerah (Pitas, Paitan, Kota Marudu) dan 15 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) setakat jam 4 pagi tadi.

Exit mobile version