PAPAR: Seorang nelayan warga emas yang dilaporkan hilang ketika memukat di perairan Pantai Manis, Kampung Kuala, sejak 16 Februari lalu, ditemui meninggal dunia semalam di Pantai Kampung Sangkabok, kira-kira 71 kilometer dari lokasi kejadian.
Mangsa, Saimon Ongit, 60, ditemui orang awam sebelum dimaklumkan kepada pasukan penyelamat. Pengecaman kemudian dilakukan oleh ahli keluarga di Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) sebelum mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar, PPgB Rozlan Osman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada Balai Polis Papar pada jam 10.44 pagi, 16 Februari lalu berhubung dua lelaki dikhuatiri hilang di laut ketika menjalankan aktiviti memukat.
“Seorang mangsa, Primus Ujim, 52, berjaya ditemui dalam keadaan selamat pada hari kejadian, manakala seorang lagi masih hilang dan operasi mencari serta menyelamat (SAR) segera digerakkan bersama PDRM, Angkatan Pertahanan Awam dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, operasi SAR memasuki hari keempat hari ini dengan pencarian dijalankan di sepanjang persisiran pantai Kampung Bundusan hingga ke Muara Pengalat sejauh kira-kira empat kilometer menggunakan bot.
“Pada jam 3.20 petang, keluarga mangsa memaklumkan bahawa mangsa telah ditemui orang awam di Pantai Kampung Sangkabok. Setelah pengecaman dibuat dan disahkan, mangsa diserahkan kepada pihak polis dan operasi SAR ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.23 petang,” katanya.
Sepanjang operasi, seramai 10 anggota BBP Papar digerakkan bersama sebuah jentera FRT, EMRS dan bot, dengan kerjasama lapan anggota PDRM, tujuh anggota APM serta lima anggota APMM.

