Site icon TUHAU BAMBANGAN

Lelaki warga asing ditahan bersama syabu di Stesen Bas Semporna, jika bersalah boleh dihukum mati

SEMPORNA: Seorang lelaki warga asing berusia 20 tahun berdepan hukuman mati atau penjara seumur hidup selepas ditahan bersama dadah disyaki syabu seberat 55.50 gram dalam satu operasi di sekitar Stesen Bas Semporna, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintenden Polis Tan Hiap Wah berkata, suspek ditahan kira-kira jam 9.30 pagi oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Daerah Semporna ketika berada dalam keadaan mencurigakan sambil membawa sebuah beg karung berwarna merah jambu bercorak bintang.

“Hasil pemeriksaan ke atas tubuh badan suspek dan beg tersebut menemui dua kotak berwarna coklat jenama Maggi perisa kari yang mengandungi 23 bungkusan plastik jenama sama serta satu bungkusan plastik berwarna hijau jenama Sabah Tea.

“Pemeriksaan lanjut ke atas bungkusan plastik hijau itu menjumpai satu paket plastik lutsinar bersaiz besar yang mengandungi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat 55.50 gram,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, suspek bersama barang rampasan telah dibawa ke Pejabat BSJN Daerah Semporna untuk siasatan lanjut dan ditahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup. Sekiranya dijatuhi hukuman penjara seumur hidup, tertuduh juga boleh dikenakan tidak kurang daripada 15 sebatan,” katanya.

Tan menegaskan pihak polis akan terus mempergiatkan operasi membanteras kegiatan pengedaran dadah dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang terlibat, selain menggesa orang ramai menyalurkan maklumat serta tidak melindungi mana-mana pihak yang cuba menjadikan daerah ini sebagai lokasi transit atau pengedaran dadah.

Exit mobile version