KOTA KINABALU: Seramai 35 pendatang asing tanpa izin (PATI), termasuk 16 kanak-kanak, ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah dalam beberapa siri operasi penguatkuasaan yang dijalankan di Kota Kinabalu dan Lahad Datu, semalam.
Dalam Ops Sapu di Lahad Datu yang melibatkan 22 pegawai penguat kuasa, seramai 111 individu terdiri daripada warganegara Malaysia, Indonesia dan Filipina telah diperiksa. Hasil pemeriksaan mendapati 31 warga asing disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.
Daripada jumlah itu, tiga lelaki dewasa, 12 perempuan dewasa, lapan kanak-kanak lelaki dan lapan kanak-kanak perempuan ditahan atas kesalahan tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa serta melanggar syarat pas di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) akta berkenaan.
Dalam operasi berasingan, Ops Jaja di Kota Kinabalu, 14 pegawai penguat kuasa telah memeriksa 10 individu dan menahan empat PATI membabitkan dua lelaki dewasa serta dua perempuan dewasa kerana disyaki melanggar Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
JIM Sabah menegaskan bahawa operasi penguatkuasaan akan terus dipergiat dari semasa ke semasa bagi memastikan undang-undang imigresen dipatuhi serta membanteras kehadiran PATI di negeri ini.

