Site icon TUHAU BAMBANGAN

Dua ditahan, terlibat kes curi dompet & tandan sawit di Semporna

SEMPORNA: Polis Daerah Semporna menahan dua lelaki dalam dua kejadian berasingan melibatkan kes kecurian dompet dan tandan buah sawit yang berlaku pada 12 Februari lalu di sekitar daerah ini.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintenden Polis Tan Hiap Wah berkata, dalam kejadian pertama di kawasan Hospital Semporna, seorang wanita menyedari dompetnya yang mengandungi wang tunai RM200 hilang daripada beg tangan yang ditinggalkan di dalam kenderaan.

Menurut beliau, suspek pada awalnya membantu petugas hospital mengangkat suami mangsa yang tidak sedarkan diri sebelum mengambil kesempatan mencuri wang daripada beg tangan mangsa ketika wanita itu sibuk menguruskan pendaftaran.

“Perbuatan suspek berjaya dikesan melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan berkenaan dan lelaki itu berjaya ditahan kira-kira jam 4 petang dengan bantuan orang awam,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Dalam kejadian berasingan pada hari sama, sepasukan anggota MPV yang menjalankan rondaan cegah jenayah di Kampung Tonggulangan menahan sebuah kenderaan jenis Proton Iswara yang dipandu dalam keadaan mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan mendapati suspek berumur 45 tahun gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri dan beberapa tandan buah sawit sedang diturunkan di hadapan sebuah rumah tidak bernombor. Suspek kemudian mengaku mencuri buah sawit tersebut dari kebun di sekitar kawasan berkenaan,” jelasnya.

Kedua-dua suspek kini direman bagi membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Tan menegaskan polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam jenayah harta benda walaupun melibatkan nilai kecil, serta menasihati orang ramai agar sentiasa berwaspada terhadap keselamatan barangan peribadi terutama di kawasan awam.

Beliau turut menyeru masyarakat supaya terus bekerjasama dengan pihak polis dengan menyalurkan maklumat bagi membantu membanteras jenayah di daerah itu.

Exit mobile version