Site icon TUHAU BAMBANGAN

Cemburu dipercayai punca wanita dikerat tujuh di Indah Permai, suspek 70-an ditahan

KOTA KINABALU: Motif cemburu dipercayai menjadi punca pembunuhan kejam seorang wanita berusia lingkungan 40-an yang mayatnya dikerat tujuh bahagian sebelum dibuang di beberapa lokasi sekitar Taman Indah Permai, di sini, pada awal pagi Khamis (12 Feb).

Memetik laporan Harian Metro, seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 70-an berjaya ditahan kurang 24 jam selepas penemuan mayat mangsa dalam satu operasi kira-kira jam 5 petang di sekitar daerah ini.

Operasi berkenaan membabitkan Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu bersama Bukit Aman, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, Bantuan Teknikal D8 JSJ IPK serta Ronda Cegah Jenayah Balai Polis Luyang.

Difahamkan, suspek dikenal pasti hasil petunjuk daripada penemuan bahagian badan mangsa, termasuk kepala dan badan, susulan penemuan awal tangan serta kaki di dalam tong sampah.

“Suspek lelaki tempatan berusia 70-an berjaya dikesan dan ditahan. Setakat ini motif kejadian dipercayai cemburu. Dengan tertangkapnya suspek utama ini, kes dianggap berjaya diselesaikan. Bagaimanapun siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” menurut laporan berkenaan.

Suspek kini ditempatkan di hospital bagi menjalani pemeriksaan lanjut sebelum proses permohonan reman dijalankan.

Terdahulu, kaki dan tangan mangsa ditemui berhampiran tempat letak kereta bersebelahan sebuah pasar raya pada jam 6.30 pagi oleh pekerja lori sampah yang kemudian memaklumkan kepada polis.

Pencarian lanjut membawa kepada penemuan kepala serta badan mangsa pada jam 11.40 pagi di satu lagi lokasi pembuangan sampah berhampiran kawasan sama.

Exit mobile version