Site icon TUHAU BAMBANGAN

Polis siasat kes penemuan mayat wanita dikerat di Indah Permai pagi tadi

KOTA KINABALU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menjalankan siasatan berhubung penemuan beberapa bahagian anggota badan seorang wanita di kawasan rumah kedai Indah Permai, Menggatal, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Supt Syed Lot Syed Abdul Rahman dalam satu kenyataan media berkata, pihak polis menerima maklumat awal mengenai kejadian itu kira-kira jam 8.00 pagi sebelum sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu digerakkan ke lokasi bagi menjalankan siasatan lanjut.

Menurut beliau, hasil pemeriksaan awal mendapati beberapa bahagian anggota tubuh manusia ditemui di dalam tong sampah serta di sekitar kawasan rumah kedai berkenaan. Semua bahagian yang dijumpai dipercayai milik seorang mangsa wanita yang sama.

“Identiti mangsa setakat ini masih belum dapat dipastikan dan usaha sedang giat dijalankan untuk mengenal pasti identiti serta mengesan waris terdekat,” katanya.

Tambah beliau, Pasukan Forensik PDRM Kontinjen Sabah bersama Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) dan Unit Anjing Pengesan (K9) telah menjalankan pemeriksaan terperinci di lokasi kejadian bagi tujuan pengumpulan bahan bukti.

Berdasarkan siasatan awal, polis tidak menolak kemungkinan mangsa dibunuh di lokasi lain sebelum bahagian tubuhnya dibuang di kawasan berkenaan. Siasatan kini tertumpu kepada mengenal pasti punca kematian, modus operandi serta individu yang terlibat dalam kejadian tersebut.

Mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I untuk bedah siasat yang dijadualkan dijalankan pada 13 Februari 2026 jam 8.30 pagi.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat kes, ASP Rahman di talian +60 12-310 6882 atau IPD Kota Kinabalu di talian 088-529222. Segala maklumat yang disalurkan akan dirahsiakan.

PDRM memberi jaminan bahawa siasatan akan dijalankan secara menyeluruh dan profesional bagi memastikan pelaku dibawa ke muka pengadilan.

Exit mobile version