Site icon TUHAU BAMBANGAN

KBSK beri jaminan siapkan segera projek Kompleks Sukan Tongod, kontraktor baharu akan dilantik

TONGOD: Kementerian Pembangunan Belia, Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah (KBSK) memberi jaminan untuk meneruskan pembinaan Kompleks Sukan Tongod yang tertangguh sejak Julai tahun lalu, sekali gus menamatkan kemelut projek berkenaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah berkata, jaminan itu diberikan sendiri oleh Menteri KBSK, Datuk Hj Nizam Datuk Seri Abu Bakar Titingan ketika lawatan kerja ke tapak projek berkenaan kelmarin.

“Saya berpuas hati kerana menteri sendiri memberi jaminan bahawa Kompleks Sukan ini akan diberi perhatian tuntas dan kontraktor baharu akan dilantik untuk menyiapkan projek dalam masa terdekat.

“Saya sendiri akan mengambil peranan menyusul perkara ini supaya projek ini dapat dipercepatkan,” katanya ketika ditemui media di tapak projek tersebut, pada Rabu.

Menurut Masiung, beliau sebelum ini berusaha membawa projek itu ke Tongod, namun pelaksanaan oleh kontraktor yang dilantik kerajaan terdahulu amat mengecewakan sehingga menyebabkan projek berkenaan terbengkalai dan digelar sebagai ‘projek gajah putih’.

Katanya, dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Disember lalu, beliau turut mendesak KBSK agar mengambil tindakan segera bagi memastikan projek tersebut disiapkan demi kepentingan belia dan masyarakat setempat.

Pengerusi Kumpulan SEDCO itu turut menggesa kementerian supaya meneliti dengan teliti kemampuan kontraktor baharu yang bakal dilantik agar masalah sama tidak berulang.

“Saya berharap pemilihan kontraktor baharu dibuat secara lebih teliti dan profesional supaya projek ini dapat disiapkan mengikut jadual serta memenuhi spesifikasi ditetapkan,” tegasnya.

Exit mobile version