KOTA KINABALU: Tiga individu disahkan meninggal dunia manakala beberapa yang lain cedera dalam satu kemalangan jalan raya maut membabitkan sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) yang terbabas dan melanggar pokok di Jalan Signal Hill Park, berhampiran Dewan Hakka, di sini, pada malam 8 Februari lalu.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Kasim Muda berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu dan siasatan awal mendapati kenderaan terbabit dipercayai hilang kawalan ketika melalui jalan berselekoh sebelum terbabas, melanggar pokok dan seterusnya masuk ke dalam parit di lokasi kejadian.
“Akibat kemalangan tersebut, dua penumpang disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala seorang lagi meninggal dunia semasa menerima rawatan di hospital.
“Beberapa individu lain termasuk pemandu kenderaan mengalami kecederaan dan sedang menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I dan II,” katanya dalam satu kenyataan media baru-baru ini.
Menurut beliau, polis telah menjalankan siasatan di tempat kejadian termasuk pemeriksaan ke atas kenderaan terlibat serta dokumentasi lokasi. Kenderaan tersebut turut ditahan bagi tujuan pemeriksaan lanjut.
“Siasatan kes ini dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas serta memandu dengan berhati-hati, khususnya di kawasan jalan berselekoh dan pada waktu malam bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu atau Hotline IPD Kota Kinabalu di talian 088-529 222.
Dalam pada itu, Polis Diraja Malaysia merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan memberi jaminan bahawa siasatan akan dijalankan secara telus dan menyeluruh.

