Site icon TUHAU BAMBANGAN

Suara & kepentingan negeri perlu terus dibawa ke pusat – Hajiji

KUALA LUMPUR: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, menegaskan bahawa suara serta kepentingan negeri perlu terus dibawa ke peringkat Persekutuan bagi memastikan kesejahteraan rakyat dan kelangsungan pembangunan Sabah.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri (MBKM) Ke-148 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Bangunan Parlimen, di sini, pada Selasa.

Menurut Hajiji, mesyuarat berkenaan menjadi platform penting untuk menyelaras dasar antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan, selain berkongsi pandangan serta memperkukuh kerjasama strategik demi kepentingan negeri.

“Mesyuarat ini menjadi platform penting untuk menyelaras dasar, berkongsi pandangan serta memastikan suara dan kepentingan negeri terus dibawa ke peringkat Persekutuan demi kesejahteraan rakyat,” katanya dalam kenyataan di Facebook semalam.

Beliau menambah bahawa kerjasama erat antara kedua-dua peringkat kerajaan merupakan kunci kepada kestabilan politik, pembangunan berterusan dan masa depan Sabah yang lebih terjamin.

“Kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan adalah kunci kepada kestabilan, pembangunan berterusan dan masa depan Sabah yang lebih terjamin,” katanya.

Mesyuarat tersebut turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof, manakala Ketua Menteri diiringi Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Sr Safar Untong.

Pada Rabu dan Khamis, Hajiji dijadual mengiringi Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman sempena Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-271 di Istana Negara.

Exit mobile version