KOTA KINABALU: Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) menetapkan dua kadar Zakat Fitrah bagi Negeri Sabah tahun 2026/1447H, iaitu RM7.50 bagi pengguna beras putih import dan RM15.00 bagi pengguna beras wangi.
Yang Di-Pertua MUIS, Yahya Hussin berkata, penetapan kadar tersebut dibuat berasaskan sukatan satu gantang Baghdad bersamaan 2.7 kilogram beras, selaras dengan makanan ruji majoriti umat Islam di Sabah.
Pengumuman itu dibuat pada Selasa sempena sidang media menjelang Ramadan al-Mubarak 1447H, dengan MUIS menyeru umat Islam menunaikan Zakat Fitrah sebagai kewajipan ibadah.
Menurut beliau, pungutan zakat tahun 2025 merekodkan RM133.95 juta, melibatkan RM121.56 juta Zakat Harta dan RM12.39 juta Zakat Fitrah, dengan 1,651,815 pembayar Zakat Fitrah, meningkat 2.38 peratus berbanding 2024.
Dari segi agihan, MUIS mencatat agihan tertinggi dalam sejarah berjumlah RM181.67 juta kepada 116,776 asnaf di seluruh negeri. Sepanjang Ramadan tahun ini, RM21.6 juta diperuntukkan untuk bantuan kepada fakir, miskin, mualaf serta upah amil fitrah.
Bagi 2026, MUIS mensasarkan pungutan keseluruhan RM160.2 juta, merangkumi RM13 juta Zakat Fitrah dan RM147.2 juta Zakat Harta, bagi memastikan kebajikan asnaf di Sabah terus terpelihara.

