Site icon TUHAU BAMBANGAN

SMJ 2.0 pacu lonjakan ekonomi inklusif Sabah – Ketua Menteri

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri terus memperkasa pelaksanaan Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2.0 (SMJ 2.0) sebagai fasa lonjakan baharu untuk memacu daya saing, produktiviti dan nilai ekonomi negeri, sekali gus memastikan kemakmuran dapat dinikmati secara inklusif oleh semua lapisan rakyat tanpa mengira kaum dan latar belakang.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, SMJ 2.0 bukan sekadar kesinambungan kepada pelan pembangunan sebelum ini, sebaliknya bertindak sebagai pemangkin perubahan menyeluruh yang menuntut peningkatan keupayaan diri, termasuk perubahan cara berfikir, bekerja dan mencipta nilai baharu demi kesejahteraan rakyat.

“SMJ 2.0 adalah fasa lonjakan ke hadapan yang menekankan pembangunan ekonomi, pemerkasaan modal insan serta kesejahteraan rakyat. Perpaduan kekal sebagai kunci utama kepada kestabilan dan kemakmuran negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Karnival Tahun Baharu Cina 2026 yang berlangsung di Dataran Deasoka, di sini, pada Isnin. Teks ucapan Ketua Menteri itu telah dibacakan oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar Negeri, Datuk Rubin Balang.

Menurut Hajiji, kejayaan pelaksanaan Pelan Pembangunan SMJ 1.0 sebelum ini memberi keyakinan bahawa Sabah berada di landasan yang tepat, manakala SMJ 2.0 pula dirangka selari dengan pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi tempoh 2026 hingga 2030.

Katanya, pendekatan pembangunan berterusan amat penting bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan serta keupayaan negeri menangani cabaran masa depan secara lebih strategik dan bersepadu.

Dalam pada itu, Hajiji menegaskan bahawa kepelbagaian budaya dan keharmonian masyarakat berbilang kaum merupakan asas kekuatan sosial Sabah yang perlu terus dipelihara dan diperkukuh.

“Karnival seperti ini mencerminkan keunikan Sabah sebagai sebuah negeri yang kaya dengan kepelbagaian budaya, di mana setiap perayaan diraikan bersama dalam semangat saling menghormati dan muhibah,” katanya.

Beliau berkata, pendekatan inklusif kerajaan negeri selari dengan aspirasi membina sebuah Sabah yang aman, bersatu padu dan sejahtera untuk semua.

Hajiji turut mengiktiraf peranan penting masyarakat Cina sebagai rakan strategik dalam pembangunan negeri, khususnya dalam sektor ekonomi, keusahawanan, pendidikan dan pemeliharaan warisan budaya.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan negeri akan terus menyokong inisiatif serta penglibatan aktif pertubuhan masyarakat Cina sebagai rakan pelaksana agenda pembangunan Sabah di bawah kerangka Sabah Maju Jaya.

Beliau juga merakamkan penghargaan kepada Gabungan Persatuan Cina Sabah yang menghimpunkan lebih 160 persatuan dari seluruh negeri dan Wilayah Persekutuan Labuan atas sumbangan berterusan dalam menjayakan pelbagai program kemasyarakatan.

Menurutnya, kerjasama erat antara kerajaan dan pertubuhan masyarakat tanpa mengira kaum amat penting bagi memastikan dasar pembangunan dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan berkesan.

Mengakhiri ucapannya, Hajiji mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina 2026 kepada seluruh masyarakat Cina di Sabah sambil berharap sambutan perayaan itu terus menjadi pemangkin kepada perpaduan, keharmonian dan kemajuan bersama demi masa depan negeri yang lebih cemerlang.

Exit mobile version