KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor hari ini menerima kunjungan hormat Duta Kesatuan Eropah (EU) ke Malaysia, Rafael Daerr, di pejabatnya di Menara Kinabalu, sekali gus membuka ruang perbincangan lanjut mengenai kerjasama strategik antara EU dan Sabah.
Dalam pertemuan itu, Rafael menegaskan kepentingan Sabah dalam hubungan EU–Malaysia, selari dengan kedudukan strategik negeri ini di rantau Asia Tenggara serta potensi besar dalam bidang ekonomi, pembangunan mampan dan hubungan antarabangsa. Beliau turut menyatakan komitmen EU untuk terus memperkukuh hubungan dengan Sabah berdasarkan penglibatan positif yang telah terjalin sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Hajiji pula menegaskan Kerajaan Negeri sentiasa terbuka terhadap kerjasama antarabangsa yang selari dengan hala tuju pembangunan Sabah dan mampu memberi manfaat jangka panjang kepada rakyat, khususnya dalam mempercepat agenda pembangunan negeri.
Kedua-dua pihak turut bertukar pandangan mengenai potensi kerjasama masa depan, termasuk meneruskan penglibatan sedia ada serta meneroka peluang baharu yang lebih strategik dan berimpak tinggi merentas pelbagai sektor.
Terdahulu, Rafael menghadiri majlis pelancaran Buku Sistem Jaminan Perundangan Kayu Sabah Plus (Sabah TLAS+), iaitu sistem pertama seumpamanya di dunia yang menyelaraskan aspek perundangan, keperluan bebas penebangan hutan di bawah Peraturan Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR) serta prinsip kelestarian sukarela dalam satu rangka kerja bersepadu.
Pada hari yang sama, Hajiji turut menerima kunjungan hormat Konsul Republik Korea di Kota Kinabalu, Choi Bongkyu, dalam pertemuan pertama sejak beliau dilantik pada November lalu.

