KOTA KINABALU: Pemuda Gagasan Rakyat menggesa pengambilan 20,000 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) Gred DG9 yang diumumkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dilaksanakan secara lebih strategik dan bersasar, khususnya dengan mengambil kira keperluan sebenar Sabah serta cabaran pendidikan di kawasan luar bandar dan pedalaman.
Pemangku Ketua Pemuda Gagasan Rakyat, Azrul Ibrahim berkata, pihaknya menyambut baik inisiatif KPM itu sebagai langkah penting bagi memastikan kecukupan guru menjelang pelaksanaan Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026–2035 dan persediaan kemasukan murid Tahun Satu tahun hadapan.
Namun katanya, pengambilan guru baharu perlu memberi keutamaan kepada anak jati Sabah bagi menjamin kelangsungan tenaga pengajar tempatan yang lebih memahami konteks sosio-budaya dan geografi negeri ini.
“Guru tempatan lebih berupaya menyesuaikan pendekatan pengajaran dengan keperluan komuniti setempat, sekali gus meningkatkan keberkesanan sistem pendidikan, khususnya di kawasan pedalaman,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut menegaskan calon berkelayakan ikhtisas pendidikan wajar diberi keutamaan bagi memastikan tahap profesionalisme, kompetensi dan kualiti pengajaran yang tinggi sejak penempatan awal.
Selain itu, Azrul berkata bagi sekolah di kawasan pedalaman, calon yang berasal atau menetap berhampiran lokasi sekolah perlu diutamakan bagi mengurangkan isu mobiliti, pertukaran guru yang kerap serta kekosongan jawatan.
“Pendekatan pengambilan yang lebih bersasar dan sensitif kepada keperluan wilayah seperti Sabah bukan sahaja memperkukuh sistem pendidikan negara, malah memastikan pelaburan besar kerajaan memberi impak nyata dan berterusan kepada rakyat,” katanya.

