Site icon TUHAU BAMBANGAN

Lelaki bakal berdepan hukuman mati, miliki syabu bernilai lebih RM11,000 di jeti awam Lahad Datu

LAHAD DATU: Seorang lelaki tempatan berusia 26 tahun bakal berdepan hukuman mati atau penjara seumur hidup selepas ditahan polis kerana memiliki dadah disyaki jenis syabu bernilai lebih RM11,000 dalam satu operasi khas di jeti awam Lahad Datu, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP HJ. Dzulbaharin Ismail berkata, tangkapan dibuat kira-kira jam 10.30 pagi oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) ketika menjalankan Op Tapis, selepas mengesan suspek dalam keadaan mencurigakan di kawasan berkenaan.

“Hasil pemeriksaan menemui tiga paket plastik lutsinar pelbagai saiz berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat keseluruhan 103.76 gram dan nilai pasaran kira-kira RM11,413.60,” katanya dalam kenyataan.

Menurut beliau, sebuah telefon bimbit yang dipercayai digunakan bagi aktiviti pengedaran dadah turut dirampas. Polis juga menyita sebuah bot dan enjin sangkut yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan tersebut.

Katanya, suspek kini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.

“Polis akan terus mempergiatkan usaha mengesan rangkaian serta pembekal dadah yang terlibat dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit dalam jenayah dadah,” tegasnya.

Exit mobile version