TONGOD: Jawatan Ketua Kampung dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di daerah ini tidak akan ditentukan melalui pemilihan, sebaliknya dibuat secara lantikan oleh Wakil Rakyat bersama kepimpinan di peringkat daerah.
Wakil Rakyat Kuamut, Datuk Masiung Banah berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan pengalaman lalu yang menunjukkan pemilihan melalui undi sering mencetuskan perpecahan dalam kalangan komuniti setempat.
“Pemilihan secara undi, khususnya jika melibatkan dua atau tiga penjuru, biasanya mewujudkan kelompok yang tidak sehaluan antara pihak yang menang dan kalah. Ia tidak banyak membawa keharmonian kepada masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan penutupan Kursus Transformasi Kepimpinan Ketua-Ketua Adat Cemerlang Daerah Tongod di Dewan Simpang Entilibon baru-baru ini.
Menurut Masiung, pengalaman beliau selama lima penggal sebagai wakil rakyat membuktikan pendekatan lantikan lebih sesuai, khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuamut.
“Pendekatan lantikan membolehkan individu yang berpengalaman luas dan benar-benar berupaya memimpin dipilih, sekali gus membantu mewujudkan keharmonian dan kestabilan dalam komuniti,” katanya.
Beliau menegaskan keputusan popular melalui undi tidak semestinya menjamin perpaduan masyarakat, malah berisiko mencetuskan perpecahan berpanjangan.
Kursus sehari anjuran Jabatan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah (JHEANS) itu disertai seramai 57 ketua adat, termasuk Ketua Daerah Tongod, Josison Saidin, Ketua-Ketua Anak Negeri, Wakil Ketua Anak Negeri serta Ketua-Ketua Kampung di daerah berkenaan.
Turut hadir Pegawai Daerah Tongod, Hadzlan Jablee; Pengarah JHEANS, Nordin Lossin; dan Ketua Polis Daerah, Inspektor Edwan Dollah.

