Site icon TUHAU BAMBANGAN

Sabah lancar Buku TLAS+ bukti kesiapsiagaan perdagangan kayu lestari

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri melancarkan Buku Sistem Jaminan Perundangan Kayu Sabah Plus (Sabah TLAS+) hari ini sebagai bukti kesiapsiagaan Sabah untuk berdagang secara bertanggungjawab, melindungi hutan serta mengukuhkan kedudukan negeri sebagai peneraju dipercayai dalam ekonomi hijau global.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Sabah TLAS+ merupakan sistem pertama seumpamanya di dunia yang menyepadukan keperluan perundangan, piawaian bebas penebangan hutan di bawah Peraturan Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR) serta prinsip kelestarian sukarela dalam satu rangka kerja bersepadu.

“Ini meletakkan Sabah di barisan hadapan jangkaan peraturan dan pasaran global,” katanya ketika merasmikan pelancaran buku berkenaan di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun.

Menurut Hajiji, pembangunan Sabah TLAS+ adalah respons proaktif terhadap perkembangan pasaran global, termasuk pelaksanaan EUDR yang dijangka berkuat kuasa menjelang akhir 2026, yang menuntut produk kayu bukan sahaja sah di sisi undang-undang, malah bebas penebangan hutan, boleh dijejaki dan dinilai risikonya secara ketat.

Beliau berkata Kerajaan Negeri melalui Jabatan Perhutanan Sabah, dengan kerjasama Fasiliti Kerjasama Kesatuan Eropah–Malaysia sejak 2024, telah menaik taraf sistem sedia ada bagi memastikan tadbir urus kekal sejajar piawaian antarabangsa, sekali gus memperkukuh ketelusan, akauntabiliti dan integriti rantaian bekalan.

“Sabah TLAS+ turut mengintegrasikan kebolehjejakan digital, geolokasi serta perlindungan sosial dan alam sekitar yang diperkukuh, selain selari dengan Arahan Ketekunan Wajar Kelestarian Korporat EU (EU CS3D),” katanya.

Tambah beliau, pengeluar kayu Sabah kini bukan sekadar mematuhi piawaian minimum undang-undang, malah berkeupayaan membuktikan pematuhan telus dan kesiapsiagaan ESG untuk pasaran antarabangsa.

“Sabah terbuka untuk perniagaan lestari. Kayu-kayan kami sah, boleh dijejaki, dihasilkan secara bertanggungjawab dan berdaya saing di peringkat global,” katanya.

Hajiji turut merakamkan penghargaan kepada Kesatuan Eropah atas sokongan teknikal dan kewangan, serta memuji Jabatan Perhutanan Sabah, pemain industri dan semua pihak berkepentingan yang terlibat, sambil menyatakan hasrat memperluas kerjasama dalam bidang pendidikan dan pemuliharaan bagi memastikan pengurusan hutan Sabah kekal mampan dan berdaya tahan.

Exit mobile version