LABUAN: Cubaan beberapa pendatang asing tanpa izin (PATI) melarikan diri melalui pintu belakang rumah gagal apabila Jabatan Imigresen Malaysia Wilayah Persekutuan Labuan (JIM WP Labuan) menahan 10 warganegara China dalam Operasi Sapu di empat lokasi kediaman sekitar taman perumahan di sini, pada awal pagi Selasa.
Pengarah JIM Labuan, Raymond Entalai berkata, operasi yang dijalankan dari jam 12 tengah malam hingga 1.30 pagi itu dilaksanakan hasil maklumat awam dan risikan pihak jabatan.
“Seramai 20 individu warganegara China diperiksa, terdiri daripada 15 lelaki dan lima wanita. Hasil pemeriksaan mendapati 10 individu gagal mengemukakan dokumen perjalanan atau pas yang sah dan seterusnya ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, operasi tersebut diketuai oleh KTPP Fatrick James bersama 18 pegawai Bahagian Penguatkuasa JIM WP Labuan. Ketika pemeriksaan dijalankan, beberapa individu bertindak cuba melarikan diri melalui pintu belakang rumah, namun berjaya ditahan selepas aksi kejar-mengejar tanpa sebarang insiden tidak diingini.
Raymond berkata, empat saman kepada saksi turut dikeluarkan bagi membantu siasatan, manakala semua individu yang ditahan dibawa ke Lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Labuan untuk tindakan lanjut di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Beliau menegaskan JIM akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi membanteras kehadiran PATI serta menasihatkan orang ramai dan majikan agar tidak melindungi atau menggaji warga asing tanpa dokumen sah.

