RANAU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah terus mempergiat usaha penguatkuasaan terhadap pendatang asing tanpa izin (PATI) menerusi satu operasi khas yang dijalankan di sekitar daerah Ranau baru-baru ini.
JIM Sabah dalam satu kenyataan memaklumkan, seramai 23 individu ditahan dalam operasi tersebut kerana disyaki melanggar pelbagai peruntukan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Operasi itu melibatkan 16 pegawai daripada Pejabat Imigresen Daerah Ranau dengan kerjasama anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Daerah Ranau.
“Hasil pemeriksaan terhadap 38 individu, pihak berkuasa menahan 23 PATI yang terdiri daripada 21 lelaki dewasa dan seorang wanita dewasa. Kesemua yang ditahan dikenal pasti sebagai warganegara Filipina,” jelas kenyataan itu di sini, semalam.
Menurut JIM Sabah, semua individu berkenaan ditahan kerana disyaki dengan munasabah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) serta Seksyen 36 akta sama.
JIM Sabah menegaskan bahawa tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana pihak yang melindungi atau menggaji PATI.
Pada masa sama, orang ramai diseru untuk menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mengesan kehadiran warga asing tanpa izin di kawasan mereka.
Kenyataan ini dikeluarkan oleh Bahagian Kualiti dan Komunikasi Korporat JIM Negeri Sabah.

