KUDAT: Polis berjaya menumpaskan kegiatan pengedaran dadah di daerah ini selepas menahan dua lelaki tempatan serta merampas dadah jenis syabu bernilai lebih RM40,000 dalam satu operasi khas yang dijalankan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kudat, awal pagi 31 Januari lalu.
Ketua Polis Daerah Kudat, Superintenden Mohd Haris Ibrahim berkata, kedua-dua suspek berusia 49 dan 53 tahun itu ditahan kira-kira jam 11.30 malam ketika berada di sebuah bilik sewaan di kawasan Pekan Tomburungus, Kudat.
Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut di bilik berkenaan membawa kepada penemuan beberapa bungkusan plastik lutsinar mengandungi hablur kristal disyaki dadah jenis syabu yang disembunyikan di beberapa lokasi dalam bilik tersebut.
“Turut dirampas dalam operasi ini ialah sebuah kenderaan, wang tunai, telefon bimbit, alat timbang plastik pembungkus serta peralatan lain yang dipercayai digunakan untuk aktiviti pengedaran dadah,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Beliau berkata, saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif methamphetamine dan amphetamine, manakala siasatan awal turut mengesahkan penglibatan mereka dalam aktiviti pengedaran dadah di sekitar Kudat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kedua-dua suspek kini direman bagi membantu siasatan lanjut.
“Polis Daerah Kudat komited membanteras jenayah dadah dan menyeru orang awam agar terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti dadah bagi memastikan keselamatan serta kesejahteraan masyarakat sentiasa terpelihara,” tegas beliau.

