Site icon TUHAU BAMBANGAN

Kerja lebih had masa, DBKK keluar kompaun & sita peralatan kontraktor pembinaan

KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) mengambil tindakan tegas terhadap kontraktor pembinaan yang gagal mematuhi syarat kerja diluluskan apabila mengeluarkan beberapa kompaun dan menyita peralatan dalam Operasi Bersepadu Tapak Bina di sekitar bandar raya, pada 31 Januari dan 1 Februari lalu.

Operasi dua hari itu dilaksanakan oleh Dewan Bandaraya Kota Kinabalu menerusi Jabatan Kawalan Bangunan dengan penglibatan 18 anggota daripada Jabatan Kawalan Bangunan, Jabatan Kejuruteraan dan Jabatan Penguatkuasaan.

Pada hari pertama operasi, DBKK mengeluarkan dua kompaun di bawah Undang-undang Kecil (UUK) Bangunan 1951 terhadap kontraktor yang menjalankan kerja melebihi tempoh masa diluluskan. Selain itu, dua panel kawalan lif pengangkut, dua bateri lori 10 tan serta kunci lori turut disita.

Pemantauan diteruskan pada hari kedua susulan aduan awam terhadap sebuah tapak bina yang didapati melanggar hari dan tempoh masa kerja dibenarkan. Hasil pemeriksaan, satu lagi kompaun dikeluarkan dan peralatan kimpalan (welding set) disita.

DBKK menegaskan semua pemaju dan kontraktor di bandar raya ini wajib mematuhi syarat kelulusan pelan bangunan serta peruntukan di bawah UUK (Bangunan) 1951. Kegagalan berbuat demikian akan mengundang tindakan penguatkuasaan tanpa kompromi demi menjaga kesejahteraan dan keselamatan orang awam.

Exit mobile version