TAWAU: Tindakan seorang remaja warga asing menghantar pesanan berbaur ugutan melalui aplikasi WhatsApp membawa padah apabila dia ditahan polis bagi membantu siasatan kes ugutan jenayah.
Kejadian dilaporkan berlaku ketika mangsa, seorang remaja lelaki, berada di rumahnya di Kampung Haji Sundu, Batu 2, Jalan Apas.
Mangsa menerima mesej ugutan daripada suspek yang dikenalinya, dipercayai berpunca daripada permintaan suspek yang tidak dituruti.
Bimbang akan keselamatan diri, mangsa tampil membuat laporan polis.
Ketua Polis Daerah Tawau, Jasmin Hussin berkata, susulan laporan diterima, sepasukan pegawai dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Tawau telah menjalankan tindakan segera bagi mengesan suspek.
“Bertindak atas maklumat, polis berjaya menahan seorang lelaki warga asing berusia lingkungan 18 tahun di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau kerana disyaki terlibat dalam kes ugutan tersebut,” katanya dalam kenyataan.
Suspek kemudian dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

