TAWAU: Sekolah Agama Negeri (SAN) Apas Balung mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi sekolah agama pertama di Sabah menggunakan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) dalam pengurusannya, selaras dengan arus pendigitalan pendidikan masa kini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, inisiatif itu menunjukkan pendidikan agama juga bergerak seiring perkembangan teknologi dan tidak ketinggalan dalam arus pemodenan.
“Saya tertarik hati, ini sekolah agama yang pertama menggunakan AI, ia sangat menarik. Inilah zaman yang kita hadapi pada masa akan datang, teknologinya serba canggih dan bukan saja di sekolah biasa, tapi di sekolah agama juga,” katanya selepas merasmikan SAN Apas Balung yang baharu di Taman Sawit, Balung pada Ahad.
Menurut beliau, sekolah berkenaan berjaya dibina dalam tempoh hanya tiga bulan hasil sumbangan pelbagai pihak sebagai permulaan kepada pembangunan lebih besar pada masa depan.
Katanya, kerajaan negeri bersedia menyalurkan bantuan bagi membesarkan lagi sekolah tersebut demi keselesaan pelajar dan warga pendidik.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan kerajaan negeri turut menyokong cadangan pihak pengurusan sekolah untuk mewujudkan sekolah menengah agama sebagai kesinambungan kepada pelajar yang menamatkan pendidikan di peringkat rendah.
“Ianya satu cadangan yang cukup baik kerana keperluan masyarakat Islam untuk belajar di sekolah menengah agama amat tinggi. Perancangan menambah sekolah menengah agama di Sabah adalah langkah wajar, malah pada masa depan mungkin boleh diperluaskan sehingga ke peringkat universiti Islam,” katanya.
Majlis perasmian itu turut dihadiri beberapa menteri kabinet negeri.
Sementara itu, Ketua Menteri turut menunaikan solat Zohor di Masjid Al-Ansar, Taman Sawit Balung sebelum menyampaikan sumbangan daripada Bahagian Zakat kepada golongan asnaf yang layak.

