TAWAU: Kerajaan negeri akan memantau secara berterusan kesan kenaikan tarif elektrik terhadap pengguna susulan pelaksanaan semakan semula kadar elektrik di Sabah dan Labuan yang berkuat kuasa mulai hari ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kenaikan yang dilaksanakan adalah minimum dan tidak membebankan majoriti pengguna, sebaliknya bertujuan memastikan bekalan elektrik yang lebih stabil dan berkualiti.
Menurutnya, jika sebelum ini bil elektrik sekitar RM100, peningkatan yang dialami pengguna dianggarkan hanya kira-kira RM15.
“Kesannya cuma sedikit. Kalau tambah RM15 tetapi kita mendapat bekalan elektrik yang lebih baik, itu adalah rasional kenaikan ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sekolah Agama Negeri (SAN) Apas Balung baharu di Taman Sawit, Balung, hari ini.
Semakan tarif oleh Sabah Electricity Sdn Bhd (SE) menyaksikan pelarasan kadar purata asas daripada 34.52 sen/kWj kepada 39.70 sen/kWj, iaitu peningkatan kira-kira lima sen atau 15 peratus.
Ketua Menteri menjelaskan kadar baharu itu diluluskan Jemaah Menteri setelah mengambil kira keperluan semasa Sabah serta kos penjanaan tenaga yang semakin meningkat.
Beliau berkata, tarif elektrik di Sabah masih lebih rendah berbanding Semenanjung Malaysia dan kenaikan tersebut tidak memberi kesan besar kepada 70 hingga 80 peratus pengguna domestik di negeri ini.
“Kita menanggung kos yang tinggi dalam penjanaan tenaga. Perkara ini tidak dapat dielakkan dan perlu dilaksanakan bagi memastikan sistem bekalan terus mampan,” katanya.
Pada masa sama, beliau memaklumkan Kerajaan Persekutuan ketika ini menyalurkan subsidi elektrik kepada Sabah berjumlah kira-kira RM700 juta setahun atau RM3.5 bilion bagi tempoh lima tahun.
Menurutnya, pelarasan tarif secara kecil dapat membantu mengurangkan beban subsidi kerajaan.
Tambah beliau, Kabinet Negeri telah bersetuju dengan cadangan dikemukakan Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) dan SE selepas meneliti peningkatan kos operasi penjanaan elektrik di Sabah.

