KOTA KINABALU: Kerja-kerja naik taraf tandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) yang menelan kos RM11.8 juta dilaksanakan secara menyeluruh dan berfasa bagi meningkatkan tahap keselesaan, kebersihan serta kebolehcapaian kemudahan kepada penumpang, selaras dengan piawaian sebuah lapangan terbang antarabangsa.
Menurut kenyataan Malaysia Airports, kos berkenaan melibatkan program pengubahsuaian penuh ke atas 26 kemudahan tandas di seluruh terminal KKIA, yang dilaksanakan secara berperingkat bagi memastikan operasi lapangan terbang dapat diteruskan tanpa gangguan.
“Kos RM11.8 juta ini merangkumi kerja-kerja naik taraf menyeluruh melibatkan 26 kemudahan tandas di seluruh terminal KKIA dan dilaksanakan secara berfasa supaya lapangan terbang kekal beroperasi sepenuhnya sepanjang tempoh kerja dijalankan,” jelas kenyataan itu di sini, semalam.
Malaysia Airports memaklumkan, naik taraf tersebut dilaksanakan bagi menangani isu infrastruktur uzur memandangkan terminal KKIA telah beroperasi lebih dua dekad dan menerima jutaan penumpang setiap tahun, sekali gus menyebabkan kemudahan tandas terdedah kepada penggunaan berat dan berterusan.
“Keadaan ini memerlukan pembaharuan sepenuhnya bagi memenuhi piawaian semasa dari segi operasi, kebersihan dan kebolehcapaian yang dijangkakan oleh pengguna sebuah lapangan terbang antarabangsa,” katanya lagi.
Secara keseluruhan, projek berkenaan melibatkan 196 bilik tandas, 25 tandas untuk orang kurang upaya (OKU), empat bilik penjagaan bayi serta 26 stor janitor.
Skop kerja termasuk penanggalan sepenuhnya kemudahan sedia ada dan penggantian sistem paip serta sanitari, penambahbaikan kalis air dan saliran, naik taraf mekanikal dan elektrikal, penambahbaikan ciri kebolehcapaian serta pemasangan kelengkapan yang sesuai untuk penggunaan trafik tinggi.
Malaysia Airports turut menjelaskan bahawa semua kerja dilaksanakan dalam terminal yang sedang beroperasi, memerlukan kawalan kawasan kerja yang rapi serta penyelarasan berterusan dengan operasi lapangan terbang bagi memastikan kemudahan tandas sentiasa tersedia kepada penumpang.
“Semua kerja melibatkan proses penanggalan dan pembinaan semula sepenuhnya dalam terminal yang beroperasi, dengan pelaksanaan secara berfasa bagi meminimumkan gangguan kepada pengguna,” katanya.
Menurut Malaysia Airports, Fasa 1 projek naik taraf telah siap pada Mac 2025, manakala Fasa 2 dijadualkan siap pada April 2026.
“Naik taraf ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan kami untuk memastikan KKIA kekal selamat, berfungsi dan sesuai untuk tujuan operasinya, di samping menyokong pertumbuhan serta permintaan penumpang yang berterusan,” menurut kenyataan itu.

