TAWAU: Polis menahan seorang lelaki warga asing kurang 24 jam selepas disyaki terlibat dalam kes ugutan untuk menyebarkan video dan gambar peribadi seorang wanita dalam kejadian di Kampung Merotai Besar, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, suspek berusia lingkungan 30-an itu ditahan sepasukan anggota dari Balai Polis Bombalai kira-kira jam 5.45 petang di kawasan tepi gerai Kampung Merotai Besar.
Menurut beliau, tangkapan dibuat susulan laporan polis oleh seorang wanita berusia 20-an yang mendakwa menerima ugutan daripada bekas kenalannya melalui beberapa nombor telefon sekitar jam 10.35 pagi.
“Suspek dipercayai mengugut mangsa dengan ancaman akan memviralkan video dan gambar peribadi sekiranya mangsa gagal menyerahkan sejumlah wang. Mangsa juga mendakwa suspek kerap menghubunginya pada waktu malam dengan tujuan mengganggu serta merosakkan keharmonian rumah tangga,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, akibat bimbang bahan peribadi itu disebarkan, mangsa mendakwa terpaksa menyerahkan sejumlah wang kepada suspek.
Dalam serbuan dan tangkapan tersebut, polis turut merampas sebilah pisau sepanjang kira-kira 16 sentimeter serta dua unit telefon bimbit yang ditemui di dalam sebuah beg sandang, dipercayai digunakan semasa kejadian.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.
ACP Jasmin menegaskan pihak polis memandang serius sebarang bentuk ugutan dan pemerasan, khususnya yang melibatkan ancaman penyebaran bahan peribadi.
“Polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang dan tindakan tegas akan diambil bagi memastikan keselamatan serta kesejahteraan masyarakat terjamin,” katanya.

