KOTA KINABALU: Pembukaan resort bertaraf antarabangsa di Kuala Penyu dijangka memberi lonjakan kepada ekonomi setempat dengan menyediakan lebih 300 peluang pekerjaan kepada rakyat Sabah, kata Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun.
“Pembukaan resort ini merupakan perkembangan positif dalam memperkukuh sektor pelancongan negeri, khususnya di Kuala Penyu yang mempunyai potensi besar dari segi tarikan pelancongan dan keindahan alam semula jadi,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat daripada wakil Club Med dan Golden Sands Beach Resort City di pejabatnya, hari ini.
Dalam pertemuan itu, Masidi dimaklumkan mengenai perancangan pembukaan resort Club Med Borneo yang dijadual mula beroperasi pada September ini.
Selain peluang pekerjaan, beliau berkata kakitangan tempatan yang diambil bekerja akan diberikan latihan kemahiran secara bertauliah.
“Latihan ini penting bagi meningkatkan tahap profesionalisme serta kebolehpasaran tenaga kerja tempatan dalam industri pelancongan dan hospitaliti,” katanya.
Menurut Masidi, inisiatif tersebut selaras dengan Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2.0 (SMJ 2.0) yang menekankan pembangunan ekonomi mampan, pemerkasaan modal insan serta peningkatan penyertaan rakyat tempatan dalam sektor strategik negeri.
Beliau turut menegaskan komitmen Kerajaan Negeri Sabah untuk terus menyokong pelaburan berkualiti yang mampu memberi manfaat jangka panjang kepada rakyat serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri secara inklusif dan mampan.

