KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah menegaskan perbincangan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) masih berjalan walaupun timbul kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berhubung tafsiran MA63 yang tidak merangkumi pemilikan atau kawal selia sumber minyak dan gas.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, perkara itu merupakan pandangan pihak Persekutuan dan kini sedang dibincangkan antara kedua-dua pihak.
“Itu pandangan mereka, kita tengah berbincang,” katanya ringkas ketika ditemui media selepas menyempurnakan Majlis Amanat Ketua Menteri kepada Penjawat Awam Negeri Sabah serta Pelancaran Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 di Sabah International Convention Centre (SICC), hari ini.
Terdahulu, Azalina dilaporkan menjelaskan bahawa MA63 berfungsi sebagai dokumen asas pembentukan Persekutuan Malaysia dan penetapan hak autonomi tertentu kepada Sabah dan Sarawak, namun tidak mengandungi peruntukan berkaitan pemilikan, pengurusan atau kawal selia sumber petroleum, termasuk peranan entiti seperti Petronas atau Petros.
Menurutnya, rangka kerja industri minyak dan gas negara ditentukan melalui undang-undang Persekutuan, khususnya Akta Pembangunan Petroleum 1974.
Mengulas lanjut, Hajiji berkata kerajaan negeri kekal komited memperjuangkan hak Sabah melalui saluran perbincangan dan rundingan yang berterusan dengan Kerajaan Persekutuan.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan pelancaran SMJ 2.0 merupakan hala tuju penting yang akan menjadi panduan perancangan pembangunan dan pengurusan pentadbiran kerajaan negeri bagi tempoh lima tahun akan datang, dengan penglibatan penjawat awam Negeri dan Persekutuan sebagai pelaksana utama.

