Site icon TUHAU BAMBANGAN

SMJ 2.0: SOGIP Sipitang dijangka wujudkan 10,000 pekerjaan berkemahiran tinggi

KOTA KINABALU: Projek perindustrian strategik di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP) dijangka mewujudkan kira-kira 10,000 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, sekali gus memperkukuh rantaian bekalan industri keluli dan memacu pertumbuhan ekonomi Sabah di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, antara projek utama ialah pelaburan Esteel Enterprise Sabah Sdn. Bhd. bernilai RM31 bilion di SOGIP, Sipitang, yang menjadi pemangkin kepada pembangunan industri berat dan berteknologi tinggi di negeri ini.

Beliau berkata demikian pada Majlis Amanat Ketua Menteri kepada Penjawat Awam Negeri Sabah serta Pelancaran SMJ 2.0 di Sabah International Convention Centre (SICC), pada Jumaat.

Menurut Hajiji, SMJ 2.0 bagi tempoh 2026–2030 merupakan kesinambungan SMJ 1.0 yang menumpukan pemulihan pasca pandemik dan PRN-17, dengan sasaran lonjakan daya saing, produktiviti serta nilai ekonomi negeri.

“Pelan ini dirangka melalui libat urus menyeluruh melibatkan Kabinet Negeri, kementerian, industri, belia dan rakyat, selari dengan RMK-13, aspirasi Malaysia MADANI, Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) serta prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG),” katanya.

Beliau memaklumkan, Belanjawan Negeri 2026 memperuntukkan RM12.02 bilion bagi membiayai 1,173 program dan projek pembangunan, tertinggi dalam sejarah Sabah. SMJ 2.0 berpaksikan empat tonggak GRS, iaitu Sabah First, Sabah Forward, Sabah Prosper dan Sabah United, dengan lima objektif utama termasuk mempelbagaikan ekonomi, mengoptimumkan hasil negeri dan membangunkan modal insan.

Hajiji berkata, pelaksanaan SMJ 2.0 digerakkan melalui tiga teras utama iaitu Pertumbuhan Ekonomi (perindustrian, pelancongan dan pertanian), Pembangunan Modal Insan dan Kesejahteraan Rakyat, serta Jaringan Infrastruktur dan Kelestarian Hijau.

Ketiga-tiganya disokong tumpuan kepada Ekonomi Biru, pendigitalan berteraskan AI dan pembangunan inklusif, serta dipacu lima pemboleh daya termasuk kemampanan fiskal dan tadbir urus berintegriti.

Dalam sektor perindustrian, kerajaan akan mempercepatkan pembangunan dan naik taraf taman perindustrian strategik di KKIP, SOGIP dan POIC Lahad Datu, selain merangka Pelan Induk Perindustrian Kudat berteraskan Ekonomi Biru serta merancang dua taman baharu di Kota Belud–Kota Marudu dan Beaufort–Kimanis.

Inisiatif SME-UP pula menyasarkan 600 usahawan IKS, termasuk pembangunan sistem data perkilangan dan Program Sabah Ready to Eat (RTE) bagi meluaskan pasaran produk tempatan.

Beliau turut memaklumkan sektor pelancongan menunjukkan pemulihan memberangsangkan dengan hampir 10 juta pelancong direkodkan dalam tempoh lima tahun, selari persediaan Tahun Melawat Malaysia 2026 dan Visit Sabah Year 2027, yang memfokuskan pelancongan berkualiti tinggi serta piawaian perkhidmatan global.

Sementara itu, sektor pertanian kekal sebagai teras strategik dengan peruntukan RM580.45 juta di bawah RMK-13.

Sasaran Tahap Sara Diri (SSL) beras ditingkatkan kepada 60 peratus menjelang 2030 melalui Program Revolusi Padi, penyediaan jentera moden dan pembangunan Sabah Agricultural Biotechnology Centre (SABTeC) di Tuaran, manakala subsektor ternakan dan perikanan dipacu melalui pendekatan Ekonomi Biru Sabah.

Exit mobile version