KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) berjaya mengutip lebih 200 tan sampah menerusi operasi pembersihan menyeluruh melibatkan kawasan daratan dan perairan di sekitar Bandaraya Kota Kinabalu sepanjang tempoh 18 hingga 27 Januari lalu.
Menerusi kenyataan hari ini, DBKK memaklumkan operasi yang dilaksanakan oleh Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal itu merangkumi pembersihan laut, sungai, persisiran bandar raya, kawasan kepulauan serta kampung-kampung pesisir.
Menurut DBKK, sebanyak 207 tan sampah berjaya dikutip melalui pembersihan perairan, termasuk 60 tan sampah terapung di laut yang dibersihkan menggunakan bot khas skimmer dan bot pengangkutan sampah.
“Bagi operasi di daratan pula, tumpuan diberikan kepada pematuhan jadual pengutipan sisa pepejal, pengurusan aduan awam serta pembersihan sampah haram di lokasi dikenal pasti.
“Sebanyak 56 Operasi Bersih dilaksanakan di kawasan pusat bandar, dengan 127 kompaun dikeluarkan di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) Bandaraya Kota Kinabalu (Anti Sampah Sarap) 1984 Pindaan 2005, melibatkan kutipan kompaun berjumlah RM2,540,” jelas kenyataan itu di sini, hari ini.
DBKK turut melaksanakan pembersihan awam secara intensif di kawasan tumpuan pelancong termasuk jalan utama, lorong dan kawasan awam di pusat bandar serta luar bandar, yang menyaksikan kira-kira 71 tan sampah haram berjaya dibersihkan.
Bagaimanapun, DBKK menzahirkan kebimbangan terhadap sikap segelintir pihak yang masih membuang sisa makanan dan sampah secara tidak bertanggungjawab serta melupuskan sisa pukal ke rumah sampah, sekali gus menyebabkan lambakan sampah dan menjejaskan kecekapan perkhidmatan kutipan sedia ada.
Sehubungan itu, orang awam diingatkan supaya menggunakan rumah sampah hanya untuk sisa domestik harian, manakala sisa pukal dan sisa kebun perlu diuruskan melalui syarikat berlesen, aplikasi iBersih, amalan pengasingan sisa boleh kitar semula atau dihantar terus ke tapak pelupusan yang dibenarkan.
Sebagai langkah sokongan, Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal DBKK turut melaksanakan Program iBersih Turun Padang Bersama Komuniti yang melibatkan tiga siri pelaksanaan merangkumi 2,120 unit rumah, melalui kaedah hebahan dan penerangan dari rumah ke rumah.
DBKK menegaskan usaha pembersihan berterusan ini mencerminkan komitmen pihak berkuasa tempatan dalam memastikan Bandaraya Kota Kinabalu kekal bersih, selesa dan lestari, namun kejayaannya memerlukan kerjasama serta tanggungjawab bersama seluruh komuniti.

