PENAMPANG: Cubaan seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun melarikan diri daripada pemeriksaan polis berakhir dengan penahanan selepas dia disyaki terlibat dalam kegiatan curi kabel dalam kejadian di sekitar Donggongon, pada petang Rabu lalu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Penampang, DSP Erwansyah Abdul Basir berkata, tangkapan dibuat hasil maklumat orang awam oleh Unit Peronda Polis (MPV) Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK).
Menurutnya, polis mengesan sebuah kenderaan mencurigakan sebelum suspek bertindak melarikan diri, mencetuskan kejar-mengejar dari kawasan Kobusak ke Bundusan.
“Kenderaan suspek terbabas dan merempuh sebuah premis perniagaan di Jalan Yue Min sebelum suspek cuba melarikan diri secara berjalan kaki, namun berjaya diberkas tidak lama kemudian,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, pemeriksaan ke atas kenderaan suspek menemukan segulung kabel wayar tembaga, sebuah bateri kenderaan serta kenderaan yang dipercayai digunakan dalam kegiatan jenayah.
Tambahnya, semakan mendapati suspek mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah.
Kes disiasat di bawah Seksyen 431A dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini diminta menyalurkan maklumat kepada balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

