Site icon TUHAU BAMBANGAN

Terbabas & langgar tiang elektrik, pengetua meninggal dunia di Kudat

KUDAT: Seorang pengetua sekolah menengah maut selepas kenderaan pacuan empat roda dipandunya terbabas dan melanggar tiang elektrik di Kilometer 18 Jalan Kudat–Kota Kinabalu, berhampiran Simpang RTM Sikuati, di sini, pada petang Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Kudat, Superintenden Mohd Haris Ibrahim berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira jam 5.50 petang pada 28 Januari lalu.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kenderaan jenis pacuan empat roda yang dipandu mangsa dari arah Kota Kinabalu menuju ke Kudat bergerak perlahan sebelum dipercayai terbabas ke bahagian kanan jalan, memasuki parit dan seterusnya melanggar tiang elektrik.

“Berdasarkan keterangan saksi awam di lokasi, mangsa didapati tidak sedarkan diri sejurus selepas kejadian. Pemeriksaan awal mendapati tiada kecederaan luaran yang jelas pada tubuh mangsa,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Mangsa dikenal pasti sebagai Ahmad Mehdunah, 60, yang merupakan pengetua di sebuah sekolah menengah di daerah Kudat. Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Kudat bagi tindakan lanjut untuk mengenal pasti punca sebenar kematian.

Mohd Haris berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan menasihatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati serta mematuhi peraturan jalan raya bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi IPD Kudat.

Exit mobile version