KOTA KINABALU: Isu pemilikan serta hak Sabah ke atas sumber minyak dan gas perlu ditangani melalui tafsiran perlembagaan yang sah dan berprinsip, bukannya kenyataan atau hujah bersifat politik, tegas Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat).
Dalam satu kenyataan media, Ketua Penerangan sayap pemuda parti, Barhul Sahibu, membidas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said, yang menyentuh kedudukan minyak dan gas Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Beliau berpendapat, MA63 tidak pernah memansuhkan atau menafikan hak Sabah terhadap sumber asli negeri itu, sebaliknya perlu ditafsir secara menyeluruh berdasarkan semangat pembentukan Malaysia serta kerangka perlembagaan Persekutuan.
“Isu minyak dan gas bukan soal emosi atau retorik politik, tetapi isu perlembagaan yang melibatkan kedaulatan undang-undang dan kedudukan Sabah sebagai rakan pembentuk Malaysia,” menurut kenyataan itu.
Mereka turut menegaskan bahawa walaupun MA63 tidak menyebut secara literal mengenai petroleum, dokumen tersebut mesti dibaca bersama undang-undang dan perjanjian selepas 1963, termasuk Akta Pembangunan Petroleum 1974, tanpa menafikan hak dan autonomi yang dijamin ketika pembentukan Malaysia.
Sehubungan itu, Pemuda Gagasan Rakyat menggesa Kerajaan Negeri Sabah mengambil langkah membawa isu tafsiran MA63 berkaitan minyak dan gas ke saluran perundangan yang sewajarnya, termasuk mahkamah, bagi mendapatkan keputusan muktamad yang adil dan berlandaskan Perlembagaan.
Menurut kenyataan itu lagi, pendekatan berasaskan undang-undang adalah penting bagi memastikan hubungan Persekutuan–Negeri kekal stabil, saling menghormati serta selaras dengan prinsip rakan setara seperti yang dijanjikan dalam pembentukan Malaysia.
Terdahulu Azalina berkata, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) tidak menyentuh isu pemilikan atau kawal selia sumber minyak dan gas bagi syarikat seperti Petronas atau Petros, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Dato’ Seri Azalina Othman.
Menurutnya, perjanjian itu sebaliknya berfungsi sebagai dokumen asas pembentukan negara serta penetapan hak autonomi tertentu bagi Sabah dan Sarawak.
“Tetapi, MA63 tidak merangkumi sebarang peruntukan berkaitan pemilikan, pengurusan atau kawal selia sumber minyak dan gas, serta tidak mengawal peranan entiti petroleum seperti Petronas atau Petros,” katanya.

