KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick menggesa Kerajaan Persekutuan supaya memansuhkan pengwujudan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Persekutuan di Sabah memandangkan negeri itu telah mempunyai Enakmen Pentadbiran JKKK sendiri.
Beliau berkata, langkah tersebut penting bagi menghormati perundangan Negeri Sabah selaras dengan semangat agenda reform nasional dan pelaksanaan penuh Perjanjian Malaysia.
“Penampang menyokong penuh agenda reform nasional termasuk penyasaran semula subsidi, pindaan perlembagaan bagi menghadkan tempoh penggal Perdana Menteri, penggubalan undang-undang pendanaan politik, pemisahan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya, semakan perundangan lapuk serta pendigitalan jentera penyampaian kerajaan.
“Namun, agenda reform ini mesti turut mencakupi kepentingan Sabah dan Sarawak, termasuk menghormati perundangan negeri berkaitan pentadbiran kampung,” katanya.
Menurut Ewon, Sabah telah mempunyai Enakmen Pentadbiran JKKK yang sah, justeru kewujudan JKKK Persekutuan di negeri itu dilihat sebagai satu bentuk campur tangan yang tidak selari dengan kerangka perundangan sedia ada.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul menjunjung kasih Titah Ucapan Kebawah Duli Yang di-Pertuan Agong pada Persidangan Parlimen di sini, kelmarin.
Ewon menegaskan bahawa campur tangan Kerajaan Persekutuan dalam urusan pentadbiran kampung di Sabah telah menimbulkan rasa sangsi dan ketidakpuasan hati dalam kalangan rakyat, sekali gus memerlukan penjelasan serta maklum balas yang jelas daripada kerajaan pusat.
“Rakyat Sabah telah menyampaikan mesej yang jelas dan menuntut supaya perkara ini diberi perhatian sewajarnya,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan hubungan erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri perlu terus dipelihara, namun ia mesti berlandaskan prinsip saling menghormati, khususnya kedudukan Sabah sebagai rakan pembentuk Malaysia seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia.

