Site icon TUHAU BAMBANGAN

Kerajaan tawar insentif sehingga RM4,000, ganti kenderaan lama berusia 20 tahun ke atas

PUTRAJAYA: Kerajaan memperkenalkan Program Geran Padanan bagi Penggantian Kenderaan Lama di bawah Belanjawan 2026 dengan menawarkan insentif sehingga RM4,000 kepada pemilik kenderaan persendirian berusia 20 tahun ke atas yang ingin menukar kepada kenderaan baharu yang lebih selamat dan cekap.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, program berkenaan diperuntukkan sebanyak RM10 juta dan dijangka memanfaatkan kira-kira 5,000 pemilik kenderaan di seluruh negara.

Menurutnya, menerusi program itu, kerajaan menyediakan geran padanan sehingga RM2,000 yang akan dipadankan oleh pengeluar kenderaan tempatan seperti Proton dan Perodua, menjadikan jumlah insentif maksimum sehingga RM4,000 bagi setiap kenderaan yang layak.

“Kereta lama yang ingin diganti perlu dilupuskan secara sah melalui kemudahan pelupusan diluluskan (Authorised Automotive Treatment Facility – AATF) dan dinyahdaftar menerusi sistem e-DeREG Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi memastikan kenderaan tersebut tidak kembali ke jalan raya,” katanya.

Anthony berkata, inisiatif itu bertujuan mengurangkan bilangan kenderaan lama dan tidak selamat di jalan raya, sekali gus meningkatkan keselamatan trafik, mengurangkan kos penyelenggaraan yang tinggi serta menyokong agenda kelestarian alam sekitar.

Beliau menambah, program tersebut menyasarkan pemilik kenderaan lama yang bernilai rendah dan berisiko dari segi keselamatan, di samping menggalakkan penggunaan kenderaan yang lebih moden, selamat dan mesra alam.

Exit mobile version