Site icon TUHAU BAMBANGAN

Pelancaran SMJ 2.0 Jumaat ini, tanda hala tuju baharu pembangunan Sabah

KOTA KINABALU: Pelancaran Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 pada 30 Januari (Jumaat) ini menjadi penanda aras penting kepada hala tuju baharu pembangunan negeri, sekali gus mencerminkan tekad Kerajaan Negeri untuk membina Sabah yang lebih mampan, berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ceasar Mandela Malakun berkata, pelaksanaan SMJ 2.0 menggambarkan keyakinan kerajaan negeri untuk tidak lagi sekadar mengikut arus, sebaliknya berani memimpin arah pembangunan negeri secara tersusun dan strategik.

Menurut beliau, pendekatan baharu itu turut mencerminkan kematangan Sabah sebagai sebuah negeri yang yakin dengan keupayaannya serta berhasrat untuk dihormati di peringkat nasional dan antarabangsa.

“Sejak sekian lama rakyat Sabah memikul harapan besar dan diminta bersabar dengan pelbagai kekangan. SMJ 2.0 hadir sebagai manifestasi kesungguhan kerajaan negeri untuk menterjemahkan harapan itu kepada tindakan yang lebih berkesan,” katanya.

Beliau menegaskan, SMJ 2.0 bukan sekadar pelan pembangunan di atas kertas, sebaliknya satu komitmen jelas kerajaan negeri untuk memastikan kesejahteraan rakyat, peluang ekonomi dan kualiti hidup terus diperkasakan secara berterusan.

Exit mobile version