KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) digesa mempertimbangkan pengurangan caj tapak bazar Ramadan serta mengambil tindakan tegas terhadap isu orang tengah dan monopoli tapak, bagi meringankan beban penjaja kecil dan melindungi kepentingan pengguna.
Gesaan itu disuarakan Ahli Majlis Perundingan Penjaja Peniaga Kecil Kebangsaan merangkap Naib Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Penjaja & Peniaga Kecil Malaysia (GPPPKMM), Achmad Noorasyrul Noortaip, yang menyambut baik langkah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menggunakan semula model hibrid pengurusan bazar Ramadan dengan menetapkan caj tapak serendah RM400.
Beliau berkata pendekatan itu wajar dicontohi DBKK memandangkan penjaja kecil berdepan tekanan kos operasi yang semakin meningkat, termasuk harga bahan mentah, sewaan peralatan dan kos tenaga kerja.
“Pengurangan caj tapak akan membolehkan penjaja berniaga dalam suasana lebih adil dan mampan, khususnya dalam keadaan ekonomi semasa yang mencabar,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Menurutnya, isu orang tengah yang memonopoli tapak bazar perlu ditangani secara serius kerana amalan itu bukan sahaja membebankan penjaja dengan caj tinggi, malah memberi kesan langsung kepada pengguna apabila harga jualan terpaksa dinaikkan.
Achmad Noorasyrul berkata DBKK berkeupayaan mengurus tapak bazar secara langsung, telus dan berintegriti, termasuk menetapkan syarat munasabah bagi memastikan harga jualan tidak membebankan rakyat, selaras dengan nilai kesederhanaan dan kebersamaan pada bulan Ramadan.
Beliau turut menggesa semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh Sabah mempertimbangkan pendekatan serupa mengikut kesesuaian kawasan masing-masing.
“Bazar Ramadan bukan sekadar lokasi jual beli, tetapi medan rezeki rakyat kecil. Ia perlu diurus dengan prinsip keadilan, ketelusan dan keprihatinan agar manfaatnya benar-benar kembali kepada penjaja dan masyarakat,” katanya.

