KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju supaya cadangan pelaksanaan ujian saringan diagnostik bagi menentukan kelayakan kanak-kanak memasuki Tahun Satu seawal usia enam tahun mulai sesi persekolahan 2027 tidak diteruskan.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas meneliti kebimbangan bahawa pelaksanaan ujian berkenaan berpotensi memberi kesan psikologi kepada kanak-kanak serta bersifat diskriminatif.
“Cadangan awal itu baik kerana ada sistem penilaian sebelum anak masuk sekolah, namun dibimbangi ia boleh menjadi diskriminatif, seolah-olah melabel kanak-kanak sebagai tidak layak atau kurang cerdik, sekali gus memberi kesan psikologi. Oleh itu, ia ditiadakan,” katanya ketika menjawab soalan tambahan oleh Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (MUDA-Muar) di Dewan Rakyat, hari ini.
Anwar berkata, ketiadaan ujian diagnostik tidak bermakna pemantauan terhadap tahap kesiapsiagaan murid diabaikan, sebaliknya tanggungjawab itu perlu dipikul bersama oleh guru dan ibu bapa melalui pemerhatian berterusan.
Menurut beliau, matlamat utama kerajaan adalah memastikan kanak-kanak berusia enam tahun mendapat ruang pembelajaran yang optimum, selain menegaskan Malaysia tidak boleh ketinggalan dalam arus pendidikan global memandangkan 137 negara telah melaksanakan kemasukan ke Tahun Satu pada usia berkenaan.
Dalam pada itu, Anwar memaklumkan kerajaan akan memperuntukkan tambahan RM800 juta dalam Belanjawan tahun ini bagi memenuhi keperluan segera sektor pendidikan, termasuk pengambilan 18,000 guru baharu.
Beliau turut mengakui isu kesesakan sekolah, khususnya di kawasan bandar, namun berkata pelaksanaan dua sesi persekolahan boleh dipertimbangkan bagi murid prasekolah dan Tahun Satu.
Anwar berkata, kemasukan kanak-kanak berusia enam tahun ke Tahun Satu pada peringkat awal tidak diwajibkan, namun ibu bapa digalakkan mempertimbangkannya.
Pendaftaran bagi sesi persekolahan 2027 akan dibuka dari 15 Februari hingga 31 Mac ini, manakala pendaftaran prasekolah bagi kanak-kanak lima tahun boleh dibuat secara pilihan mulai 6 April 2026.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, peluasan pendidikan percuma kepada kanak-kanak berusia lima dan enam tahun akan meningkatkan perbelanjaan kerajaan, namun persediaan dari segi dana, kurikulum serta penerimaan ibu bapa sedang diteliti bagi memastikan pelaksanaannya berjalan lancar dan berkesan.

