Site icon TUHAU BAMBANGAN

Naim angkat sumpah Ahli Dewan Rakyat, tekad bawa suara Kinabatangan ke Parlimen

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kinabatangan yang baharu, Mohd Kurniawan Naim Mokhtar, 32 (Barisan Nasional – BN), hari ini mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Rakyat dalam satu istiadat rasmi di Parlimen Malaysia.

Majlis angkat sumpah itu berlangsung di hadapan Tan Sri Johari Abdul, Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Dalam ucapan pemasyuran selepas majlis tersebut, Tan Sri Johari merakamkan ucapan tahniah kepada Mohd Kurniawan atas kemenangan beliau dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan yang diadakan Sabtu lalu.

Beliau turut berharap Mohd Kurniawan dapat meneruskan legasi dan jasa Allahyarham ayahandanya dengan memberikan sumbangan serta khidmat terbaik kepada rakyat di kawasan Parlimen Kinabatangan.

Selain itu, Tan Sri Johari menegaskan tanggungjawab Ahli Dewan Rakyat bukan sahaja dalam menggubal undang-undang, malah berperanan penting dalam melaksanakan fungsi semak dan imbang terhadap badan eksekutif demi kepentingan rakyat dan negara.

“Saya berharap Yang Berhormat dapat melaksanakan amanah ini dengan penuh dedikasi serta memberi sumbangan yang bermakna dan berfaedah kepada Dewan ini,” katanya.

Sejurus mengangkat sumpah, Mohd Kurniawan Naim turut mencatat langkah awal yang signifikan apabila mengemukakan soalan pertama beliau kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sesi Waktu-Waktu Pertanyaan Menteri.

Soalan tersebut menyentuh mengenai potensi kemasukan pelaburan ke kawasan luar bandar, termasuk di Parlimen Kinabatangan, sebagai usaha merangsang pertumbuhan ekonomi dan pembangunan setempat.

Naim meneruskan legasi bapanya, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin, selepas meraih 19,852 undi dengan majoriti 14,214 pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kinabatangan baru-baru ini.

Pencabar terdekatnya, Datuk Saddi Abdul Rahman (Warisan) hanya memperoleh 5,638 undi, manakala calon Bebas, Goldam Hamid, sekadar mengumpul 946 undi.

Exit mobile version