Site icon TUHAU BAMBANGAN

Kerajaan Perpaduan antara kelebihan BN boleh menang bergaya di Kinabatangan, Lamag

KINABATANGAN: Konsep kerajaan perpaduan yang dibentuk di peringkat negeri menjadi antara faktor utama kemenangan besar Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag, baru-baru ini.

Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Masiung Banah berkata, penyatuan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Pakatan Harapan (PH) dan UPKO telah menyumbang kepada peningkatan majoriti ketara bagi kedua-dua calon BN di kawasan berkenaan.

Beliau yang juga Pengerusi Kumpulan SEDCO ditemui sejurus pengumuman rasmi keputusan PRK kira-kira jam 10.30 malam, Sabtu lalu.

Masiung yang berkampung selama empat hari di Kuamut serta membantu kempen di DUN Lamag turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada kepimpinan serta jentera GRS yang bekerja keras sepanjang tempoh kempen.

Keputusan PRK menyaksikan calon BN Parlimen Kinabatangan, Mohd Kurniawan Naim Mokhtar memperoleh 19,852 undi dengan majoriti 14,214, menewaskan calon Warisan, Datuk Saddi Abdul Rahman yang mendapat 5,638 undi dan calon Bebas, Goldam H. Salangah (946 undi).

Sementara itu, calon BN bagi DUN Lamag, Mohd Ismail Ayub yang bertanding satu lawan satu menang dengan 7,269 undi dan majoriti 5,681, menewaskan calon Warisan, Mazilawati Abdul Malek yang memperoleh 1,588 undi.

Mengulas prestasi pilihan raya sebelum ini, beliau berkata pada PRU15 Allahyarham Datuk Seri Bung Mokhtar Radin mempertahankan Parlimen Kinabatangan dengan majoriti 4,330 undi, manakala pada PRN17 kemenangan dicapai dengan majoriti tipis 153 undi dalam saingan lima penjuru.

“Roda politik sentiasa berputar. Penyatuan gabungan ini menjurus kepada pendekatan menang-menang demi kestabilan politik,” katanya.

Menurut Masiung, kempen PRK Kinabatangan dan DUN Lamag jelas memperlihatkan kolaborasi erat antara GRS, BN, UPKO dan PH yang mencerminkan tahap kematangan politik.

“Kami dalam GRS telah melakukan yang termampu untuk membantu kemenangan bergaya BN selepas menerima arahan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

“Kita berharap parti-parti berpusat di Semenanjung menghormati kerjasama ini kerana kemampuan mereka di Sabah sudah teruji dalam PRN17 yang lalu,” katanya.

Exit mobile version