Site icon TUHAU BAMBANGAN

30 kenderaan diperiksa, 28 disaman dalam Operasi Bersepadu di Kota Belud

KOTA BELUD: Polis mengeluarkan sebanyak 28 keping saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas selepas memeriksa 30 buah kenderaan dalam Operasi Bersepadu yang dilaksanakan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud dari 24 hingga 25 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Belud, Shahrudin Mat Husain berkata, operasi itu melibatkan pelbagai cawangan termasuk Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT), Balai Polis Kota Belud serta Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK), membabitkan seorang pegawai kanan dan 10 pegawai rendah polis.

Menurutnya, operasi berkenaan dijalankan di sekitar Jalan Pan Borneo berhampiran Kuala Abai dan Batu Gadung susulan aduan orang awam serta sebagai langkah pencegahan terhadap aktiviti samseng jalanan dan gangguan ketenteraman awam.

“Sepanjang operasi dijalankan, seramai 43 individu dan 30 buah kenderaan telah diperiksa.

“Hasil pemeriksaan mendapati sebanyak 28 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan termasuk tidak memakai topi keledar, tiada lesen memandu, tiada nombor pendaftaran kenderaan, penggunaan ekzos ubah suai dan lain-lain kesalahan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut memaklumkan sebuah motosikal telah disita untuk siasatan lanjut.

Katanya, operasi bersepadu ini merupakan langkah proaktif pihak polis bagi mengekang aktiviti samseng jalanan serta meningkatkan tahap keselamatan awam.

Dalam pada itu, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati ketika berada di jalan raya dan mematuhi peraturan lalu lintas bagi mengelakkan kemalangan serta tindakan undang-undang.

Exit mobile version