Site icon TUHAU BAMBANGAN

Tiga cedera, Vigo jatuh gaung sedalam 20 kaki di Jalan SMK Segama

LAHAD DATU: Tiga lelaki cedera selepas kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Vigo yang dinaiki mereka terbabas sebelum terjatuh ke dalam gaung sedalam kira-kira 20 kaki dalam satu kemalangan jalan raya di KM 13 Jalan SMK Segama, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.02 pagi itu, ketiga-tiga mangsa dilaporkan tersepit di dalam kenderaan berkenaan sebelum berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu menggunakan peralatan menyelamat kemalangan jalan raya (RTA).

Ketua Balai BBP Lahad Datu, PKPgB Sumsoa Rashid berkata, pasukan bomba tiba di lokasi kira-kira jam 1.12 pagi selepas menerima panggilan kecemasan dan mendapati kenderaan terbabit berada di dasar gaung.

“Seramai sembilan anggota bomba digerakkan ke lokasi. Ketiga-tiga mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan dengan selamat sebelum dibawa naik ke jalan menggunakan tali dan pengusung,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, semua mangsa mengalami kecederaan dan seterusnya diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk dihantar ke hospital menggunakan ambulans bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Operasi menyelamat yang turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu ditamatkan sepenuhnya pada jam 2.17 pagi selepas pasukan bomba memastikan tiada lagi bahaya di lokasi kejadian.

Exit mobile version