Site icon TUHAU BAMBANGAN

PRK Kinabatangan, Lamag: BN menang bergaya, Warisan & calon Bebas tertinggal jauh

KINABATANGAN: Barisan Nasional (BN) berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag apabila kedua-dua calonnya mencatat kemenangan besar dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) yang berlangsung pada Sabtu.

Bagi Parlimen Kinabatangan, Mohd Kurniawan Naim Moktar, 32, meneruskan legasi bapanya, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin, selepas meraih 19,852 undi dengan majoriti 14,214.

Pencabar terdekatnya, Datuk Saddi Abdul Rahman hanya memperoleh 5,638 undi, manakala calon Bebas, Goldam Hamid, sekadar mengumpul 946 undi.

Di DUN Lamag pula, Mohd Ismail Ayob menang selesa dalam pertembungan satu lawan satu dengan 7,269 undi, mengatasi pencabarnya Warisan, Mazliwati Abdul Malek yang memperoleh 1,588 undi.

Keputusan rasmi diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Dr Eddy Syaizul Rizam, di pusat penjumlahan undi Dewan Sri Lamag.

Seramai 48,526 pengundi layak mengundi pada PRK berkenaan, membabitkan 36 pusat mengundi dan 119 saluran termasuk satu undi pos serta satu undi awal.

PRK diadakan susulan kekosongan kerusi selepas pemergian Bung Moktar pada 5 Disember lalu, kurang seminggu selepas beliau memenangi kerusi DUN Lamag dalam PRN Sabah 29 November 2025.

Pada PRN itu, Bung Moktar mengekalkan kemenangan dua penggal di Lamag, manakala kerusi Parlimen Kinabatangan dipertahankannya sejak PRU10 pada 1999.

Exit mobile version