Site icon TUHAU BAMBANGAN

Peranan LPPB dihargai, sudah bina lebih 29,000 rumah kos rendah seluruh Sabah – Hajiji

KOTA KINABALU: Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) berjaya membina sebanyak 29,443 unit Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) di seluruh Sabah sepanjang hampir enam dekad penubuhannya, sekali gus membuktikan peranan strategik agensi itu dalam menyediakan perumahan rakyat.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pencapaian berkenaan mencerminkan keupayaan dan konsistensi LPPB dalam melaksanakan agenda perumahan negeri, termasuk pembangunan Rumah Mampu Milik (RMM) serta projek komersial bagi merapatkan jurang sosioekonomi bandar dan luar bandar.

“Kerajaan Negeri amat menghargai sumbangan besar LPPB sebagai agensi utama dalam pembangunan perumahan dan bandar,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-59 LPPB di sini pada Sabtu.

Beliau memaklumkan, selaras Belanjawan Negeri Sabah 2026, kerajaan negeri akan meneruskan pembangunan PAKR di beberapa lokasi termasuk Sukau, Melalap, Beluran dan Pitas, selain memprioritikan 2,358 unit RMM di kawasan strategik seperti Sandakan, Papar dan Kota Kinabalu.

Selain perumahan, LPPB turut diamanahkan membangunkan sembilan pekan baharu di Tongod, Paginatan, Merotai, Sungai Melayu Sebatik, Sukau, Melalap, Ulu Dusun, Beluran dan Penangah bagi merangsang pertumbuhan ekonomi setempat.

Hajiji turut menyentuh usaha menangani penempatan setinggan melalui projek usahasama penempatan semula yang lebih tersusun, serta mengumumkan peningkatan kuota Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) daripada 40 kepada 50 unit bagi setiap DUN tahun ini, dengan tambahan 10 unit dikhususkan kepada golongan berumur 40 tahun ke bawah yang berkeluarga dan belum memiliki rumah.

“Setiap projek LPPB bukan sekadar membina bangunan, tetapi membina kehidupan dan komuniti,” katanya.

Exit mobile version